Antara 10 tanda jiwa kita dikuasai Iblis secara halus [sebelum diri kita dikuasai sepenuhnya.] dari 1001 tanda yang hanya boleh diketahui melalui muhasabah diri dan keinsafan yang dalam terhadap ajaran Al Quran dan hadith.
[Az Zukhruf : 36. dan sesiapa Yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran Yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu Temannya Yang tidak renggang daripadanya. 37. dan Sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan Yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.]
1. Tidak mahu menambah ilmu – tidak kira sama ada kita terasa-rasa serba berilmu atau tidak mahu tanggungjawab lebih bila ada kelebihan ilmu;
2. Sentiasa mahu didengari, dilihat serba berilmu dan diberi perhatian bila menyampaikan ilmu atau pendapat tetapi berat telinga bila diminta mendengar pula;
3. Sentiasa rasa mulia diri, inginkan kemasyhuran, dan disusuli dengan mudah memandang “ kecil” orang lain;
4. Bila ada sesuatu kebenaran yang terkena batang hidung sendiri, mudah rasa tersindir lalu tercari-cari alasan untuk menafikannya atau mematahkan hujah;
5. Gembira dengan keburukan orang lain tetapi terlalu susah hati bila keburukan sendiri terdedah kerana nak maintain “air muka” depan manusia;
6. Tidak pernah rasa berdosa, sentiasa terasa ampun dan memandang kecil dosa-dosa kecil yang dibiarkan berlaku berulang-ulang;
7. Sentiasa ghairah mencari bahan ilmu untuk memperbetulkan orang dan mudah rasa megah bila dapat membongkar kebathilan dan menumbangkan pihak lawan dan bukan berpesan-pesan antara satu sama lain atas dasar ikhlas dan kasih sayang (iaitu tegas memperbetulkan kesalahan dengan cara yang berhikmah; dan gembira bila kesalahan sendiri diperbetulkan walaupun dengan cara yang menyakitkan hati);
8. Mengambil sikap sambil lewa terhadap krisis umat Islam;
(bayangkan di padang masyar ketika kita sedang seronok melangkah dalam syurga dengan pelbagai amalan tiba-tiba ditahan oleh satu hamba allah yang dibunuh kejam oleh yahudi, anak perempuannya dirogol dan anak-anak lelaki dibunuh, hartanya dirampas tetapi kita tidak pernah terdetik rasa simpati dan menangisi nasib mereka dan mendoakan keselamatan dan keampunan untuk mereka, dan kerana doa yang tidak pernah terucap tanda persaudaraan, kita dihumbankan dalam api neraka) ;
9. Berputus asa untuk memperbaiki diri kerana lebih takutkan penolakan manusia yang sentiasa tidak mahu berubah dan menerima kebenaran daripada ditolak oleh Allah di Padang Mahsyar;
10. Lebih teringin hati itu untuk berbuat dosa tetapi tertahan kerana takut diketahui manusia.
Antara tanda nifak yang paling halus – gembira bila ada hujah yang kuat untuk menundukkan lawan cakap tetapi hakikatnya diri sendiri tak terbuat. Oleh itu, jika ada penyakit ini, maka berhati-hatilah kerana kita ini manusia yang lemah dan terlalu harapkan pertolongan dari Allah dan sewajarnya terlalu bimbang dengan keadaan umat islam yang tidak terbela menyebabkan semua amalan kita tertolak. Tak mampu angkat senjata, angkatlah tangan sama-sama kita berdoa untuk keselamatan dan keampunan semua saudara kita di mana sahaja kita berada. Mulakanlah dari sekarang membaca Al quran sehari semuka dan khatamkan bacaan matan dan terjemahannnya sebanyak mungkin dan kita akan bertemu sendiri pelbagai ilmu yang menjadi jawapan kepada apa sahaja persoalan kita Insya allah. Sesungguhnya tanda kita mencinta Rasul SAW ialah dengan membaca AL Quran, dan jika ingin berbual dengan Tuhan, maka bacalah terjemahannya dan hayatilah pengajarannya. Setiap orang akan ada penemuannya yang berbeza-beza menurut keperluan dan persediaan iman dalam jiwa.
(dari komen Norazmi Mohd Narawi dlm Saifulislam.com)
(dari komen Norazmi Mohd Narawi dlm Saifulislam.com)
No comments:
Post a Comment