Monday, March 16, 2009

Orang Kaya Sehari...

Semalam adalah antara hari yang saya rasa seperti orang kaya. Mana tidaknya perkara-perkara yang berlaku semalam tidak langsung menimbulkan kerisauan walau sedikit dari segi kewangan. Pagi lagi dalam pukul 9.30 saya dan keluarga bertolak ke KL menziarahi emak. Sampai di KL terus menjemput emak dan singgah di Restoran Hanifa untuk sarapan pagi. Ada waktunya kami turut disertai keluarga Along dan Kak Ina, tapi tidak kali ini kerana mereka ada urusan. Seperti biasa emak akan menghulurkan duit untuk membayar sarapan. Hai emak, anak emak ni dah besar panjang, sudah punya keluarga sendiri dan tidak perlu emak sponsor lagi. Kini giliran saya pula membalas jasa emak.

Usai sarapan, kami terus bergerak ke Damansara kerana emak nak membeli perabut baru untuk ruang tamu. Singgah di Fe**a Design tapi tiada yang berkenan kerana harga mahal tidak setimpal dengan citarasa yang diinginkan. Keluar dari kedai kami sekeluarga terus membawa emak ke 4 buah kedai perabut bersebelahan dan singgah di kedai perabut Cave*zi. Saya punyai citarasa yang berbeza dengan kakak-kakak dan Abang, jadi sukar juga nak mencadangkan kepada emak perabut yang sesuai bimbang dikomen mereka. Selesai memilih, saya membayar penuh harga perabut dengan kad kredit. Terfikir seketika, gaya membeli ini seperti orang kaya. (Alahai, emak yang akan membayarnya kemudian, saya cuma mendahulukan penggunaan kad.) Maaf emak, anak emak ni belum punya kewangan kukuh untuk membiayai perabut emak. He he he.

Seterusnya berbincang dengan emak sambil di sampuk isteri, mengenai cadangan pembelian tanah untuk didirikan rumah di Klang ketika kereta menyusur ke arah Shah Alam. Ada beberapa model rumah yang nak ditunjukkan kepada emak untuk mendapat buah fikiran dan cadangan. Mendapat restu emak insyaAllah melorong keberkatan kurniaan Allah dalam setiap tindakan. Apalah sangat nilainya jika kita dapat menggembirakan hati emak pada ketika kita masih mampu berbuat demikian. Saya tidak mahu menjadi seperti orang lain yang tidak berkesempatan menggembirakan ibu mereka kerana ibu mereka telah tiada. (Mohon Allah panjangkan umur emak kerana masih banyak lagi yang ingin saya lakukan untuknya.) Emak tersenyum memberi persetujuan untuk model rumah Alam Villa. Terdengar di telinga emak nak memberi sedikit bantuan kewangan untuk urusan jualbeli tanah tapi sengaja saya abaikan. Emak memang begitu sentiasa nak menghulurkan bantuan, tapi anak emak ni harus berdikari seadanya. Singgah di rumah Shah Alam untuk solat. 

Usai solat Zohor, terus ke kedai makan untuk makan tengahari. Tidak menyemak wang di dompet, terus membayar. (Bukan ke seperti orang kaya saja gayanya!)Sebaik selesai, singgah di kedai membeli mesin basuh baru menggantikan yang lama dan sudah rosak. Kad ajaib memberikan khidmat sekali lagi. He he he. Selesai transaksi terus menuju ke KL untuk menghantar emak pulang. 

Usai solat Asar, mencium tangan emak, kami sekeluarga bergerak ke Subang Parade. Giliran isteri dan semua kakaknya menjamu ibu mereka (mertua saya) di TGI Friday's bagi menyambut ulangtahun kelahiran. Dari luar jendela kaca terlihat meja panjang tersedia untuk kami. Adik-beradik lain sudah sedia menanti untuk hidangan makan malam. Memang seperti orang kaya gayanya hari ini. 

Aktiviti padat hari ini menyeronokkan dan yang baiknya ia juga menggembirakan hati emak dan ibu mertua. Hanya inilah yang dapat kami berikan walau ia masih kurang berbanding kasih sayang yang ibubapa curahkan. Kami sayang kedua-duanya.